|
Bagaimana rupa serta kedudukan silinder dalam keadaan hamparan atau dipanggil peta silinder blok. Tujuan kita guna peta ini adalah untuk mendapatkan ukuran atau saiz yang tepat bagi setiap lubang yang terdapat pada silinder blok. Corak kuasa motosikal dapat dikenal pasti sebelum modifikasi. Jika anda ingin mencuba mendapatkan peta silinder, ikuti langkah ini dengan menyediakan dahulu kertas putih, pita pelekat dan juga sebatang pensil sahaja:
- Dapatkan silinder blok enjin 2 lejang yang anda ingin modifikasi,
- Gulung kertas putih dan masukkan ke dalam silinder blok,
- pastikan kertas melekat ke dinding silinder,
- Tampal dengan pita pelekat supaya tidak bergerak,
- Guris guna pensil pada setiap lubang yang di silinder blok,
- Tandakan jarak antara bahagian atas dan bawah slinder blok tersebut,
- Warna pensil akan membentuk perbezaan warna antara lubang dan dinding silinder,
- Siap keluarkan kertas dan buka dalam bentuk hamparan,
- Tekap pada kertas putih lain untuk mendapatkan hasil yang lebih sempurna.
- Inilah peta silinder blok enjin 2 lejang.
Bagi menghasilkan corak kuasa yang kehendaki kita perlu tahu peranan sebenar setiap lubang tersebut. Hasil daripada peta silinder yang kita buat tadi, kita akan dapati lubang penyembur dengan lubang ekzos adalah sebaris tetapi saiznya berbeza sahaja.
Terdapat beberapa lagi lubang di dalam kategori lubang penyembur (scavenge port) selain dari lubang ekzos yang dinamakan:
- 2 lubang Penyembur Utama, (Main Port)
- 2 lubang Penyembur Bantuan, (Auxiliary Port)
- 1 lubang Penyembur Pelonjak. (Booster Port)
 Lubang pelonjak bertentangan dengan lubang ekzos. Terdapat lubang utama dan bantuan di kiri kanan silinder blok tersebut. Secara ringkasnya lubang-lubang ini berfungsi seperti:
2 lubang penyembur utama
- Salur menyembur bahan bakar secara melintang ke dalam silinder blok apabila permukaan kepala piston turun kebawah melintasi lubang penyembur utama. Keadaan ini menyebabkan asap hasil dari pembakaran akan tertolak keluar bermula dari permukaan atas piston.
2 Lubang penyembur bantuan
- Salur menyembur ke bahagian atas silinder blok pada sudut 45 darjah dari keadaan melintang. Semburan ke arah bertentangan dengan lubang ekzos untuk memastikan semua asap keluar dari silinder blok.
1 Lubang penyembur pelonjak
- Salur ini memberikan lebih kekuatan untuk bahan bakar menolak asap yang terkumpul dibahagian atas kepala silinder keluar ke lubang ekzos untuk memastikan kesemua asap hasil dari pembakaran keluar sepenuhnya.
 Sistem 2,2,1 ini memberikan kuasa yang hebat untuk motorsikal anda. Masa bukaan setiap lubang penyembur turut mempengaruhi corak kuasa motosikal anda. Anda boleh memilih untuk:
- Lubang utama terbuka dahulu, diikuti dengan lubang bantuan dan pelonjak.
- Lubang pelonjak dahulu dan diikuti lubang bantuan dan utama.
- Atau memilih semua lubang terbuka serentak.
Hasilnya corak kuasa motosikal anda akan berbeza. Selain dari lubang penyembur dan lubang ekzos terdapat lubang kemasukan yang terletak dibahagian bawah jika diambil kira lubang ekzos terletak dibahagian atas. Berperanan membawa masuk bahan bakar untuk proses pembakaran.
|